PERANAN IBUBAPA DALAM PEMBENTUKAN KELUARGA BAHAGIA
Anak –anak diibaratkan kain putih yang suci dan
kudus manakala
ibu bapa merupakan pencoraknya. Ibu bapa merupakan orang yang terdekat
kepada anak-anak. Justeru itu, ibu bapa harus mengemudi amanah yang mustahak
dalam menentukan kehidupan anak-anak yang sewarna pelangi atau semalap gelap.
Kesedaran tentang kepentingan masyarakat penyayang terhadap sesebuah negara
yang sedang membangun atau sudah membangun terpahat dalam sanubari kita. Hal
ini demikian kerana perasaan saling menyayangi dan hormat menghormati dalam
masyarakat dapat menjamin perpaduan yang mengundang kemajuan dan kemakmuran
negara. Tanpa masyarakat penyayang, negara Jalur Gemilang mempunyai kemungkinan
besar tercetus peperangan yang dahsyat. Dengan ini, rakyat akan hidup dalam
kesengsaraan dan kehimpitan daripada segi fizikal dan emosi. Persoalan yang
menerjah benak kita, apakah peranan ibu bapa dalam melahirkan masyarakat
penyayang.
Sebagai mukadimah dan lontaran idea dominan,
peranan ibu bapa dalam menzahirkan anak-anak yang penuh dengan kasih sayang
adalah dengan menjadi suri teladan kepada
anak-anak. Ibu bapa hendaklah
mengimplementasikan tingkah-laku yang berunsur positif di dalam rumah mahupun
di luar rumah kerana bapa borek anak rintik. Anak-anak akan
mengikut jejak dan mencontohi gelagat ibu bapa kerana bagaimana
acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa yang bersikap ganas mustahil dapat
menzahirkan zuriat yang kamil dan soleh. Sebagai
tamsilannnya, ibu bapa haruslah menyayangi ahli keluarga termasuklah datuk dan
nenek yang uzur, saudara-mara dan anak-anak yang diibaratkan sebagai mutiara
ibu bapa. Semasa berborak atau bercakap dengan orang tua mereka, ibu bapa
haruslah menggunakan nada yang lembut. Ibu bapa juga perlulah menghormati dan
dan menuruti arahan serta suruhan orang tua mereka.Ibu bapa janganlah menghantar
ibu bapa mereka ke rumah orang-orang tua dan janganlah meminggirkan
mereka. Ironinya, ibu bapa haruslah tinggal bersama-sama dan
berusaha memberikan kehidupan yang paling selesa untuk mereka. Jika tidak,
anak-anak juga akan membuang ibu bapa ke rumah orang-orang tua dan mengalpakan
jasa ibu bapa mereka.Sikap kacang lupakan kulit mestilah
dikikis. Selain itu, ibu bapa juga perlulah bermesra dengan jiran tetangga dan
saudara mara dengan cara sering bertegur sapa. Dengan ini tali silaturahim
sesama tetangga dan keluarga dapat dipererat. Secara ringkasnya, ibu bapa
haruslah menjadi suri teladan kepada anak-anak agar dapat melahirkan individu
yang penyayang.
Sebagai meniti perbincangan di atas, idea tentang
tanggungjawab ibu bapa dalam melahirkan anak-anak yang mempunyai sifat
penyayang adalah dengan mencurahkan belaian
kasih sayang terhadap anak-anak.
Anak-anak haruslah dipelihara seperti menatang minyak yang
penuh iaitu ibu bapa memberi kasih sayang yang mencukupi kepada
anak-anak. Hal ini demikian kerana anak-anak bukanlah haiwan robotik yang
tidak mempunyai perasaan. Mereka memerlukan perhatian daripada ibu bapa kerana
tiadalah sesiapa yang tidak asyik manja dengan ibu bapa. Malangnya, ibu bapa
pada masa ini hanya mengejar kemewahan dan kebendaan duniawi sehingga
mengabaikan tanggungjawab hakiki iaitu menjaga anak-anak. Mereka menganggap
kewangan dan status masyarakat sebagai priority dalam kehidupan. Ibu bapa
patutlah sentiasa meluangkan masa untuk mendampingi anak-anak. Ibu bapa
haruslah menjadi pendengar cerita anak-anak yang paling setia. Ibu bapa
haruslah memberikan bantuan kepada anak-anak apabila berdepan dengan masalah
seperti masalah pertelingkahan dengan rakan. Ibu bapa mestilah memberi nasihat
dan mengajar mereka tentang kepentingan sifat penyayang dalam masyarakat.
Selanjutnya ibu bapa juga hendaklah mengelakkan diri daripada pertelingkahan
dan perselisihan faham dengan anak-anak. Hal ini kerana anak-anak akan mudah
terpengaruh. Lazimnya anak-anak yang bermasalah terbabit dalam vandalisme, kongsi
gelap dan pergaduhan dilahirkan dalam keluarga yang porak-peranda. Kepincangan
keluarga diibaratkan sebagai neraka. Tuntasnya, ibu bapa haruslah menggalas
tanggungjawab mereka untuk memberikan kasih saying kepada anak-anak. Ingatlah,
kebahagiaan hidup anak-anak terletak di telapak kaki ibu bapa.
Sementelahan pula, ibu bapa mestilah memberikan didikan agama dan moral kepada anak-anak sejak
mereka bertatih lagi kerana melentur
buluh biarlah dari rebungnya. Didikan agama dan
moral dapat menentukan hala tuju anak-anak. Tanpa didikan agama dan moral yang
kukuh, kehidupan anak-anak diibaratkan kapal tanpa nakhoda.
Didikan agama dan moral memang mustahak dalam kehidupan seseorang kerana Tuhan
yang kita sanjungi tidak akan menyuruh hamba-Nya melangkah ke kancah maksiat
seperti lari dari rumah, bergaduh, gangtersisme dan tindak-tanduk yang berunsur
negatif. Sebaliknya, Tuhan menyuruh hamba-Nya kearah kesusilaan dan ketertiban.
Sebagai contohnya, Nabi Muhammad saw merupakan pesuruh Tuhan yang mempunyai
sifat-sifat mulia lagi terpuji seperti bertoleransi, bersopan santun dan
berfikiran panjang. Baginda amat disanjungi oleh masyarakat kerana menekankan
kedamaian dan keamanan hidup. Dengan wujudnya didikan agama yang utuh,
teladan-teladan Nabi Muhammad saw akan dicontohi oleh anak-anak. Selanjutnya
anak-anak terutamanya remaja mudah terpengaruh dan tergoda oleh persekitaran
mereka. Ibu bapa haruslah memberi didikan agama dan moral kepada anak-anak.
Dengan ini anak-anak akan berakhlak mulia dan menyebati sifat penyayang dalam
sanubari. Ibu bapa juga perlu rajin mengajar anak-anak untuk menunaikan solat
dan berdoa agar keselesaan serta kebahagiaan hidup terjamin. Konklisinya,
didikan agama dan moral haruslah diberikan kepada anak-anak untuk membajai
sifat penyayang dalam jiwa mereka.
Memang tidak dapat ditepiskan, pengawasan ibu bapa terhadap anak-anak merupakan amanah ibu bapa yang afdal dalam
melahirkan individu yang penyayang. Ibu bapa haruslah memerhatikan gerak-geri
anak-anak. Mereka boleh memperoleh maklumat tentang gelagat anak-anak daripada
saudara-mara, guru-guru serta jiran tetangga. Ibu bapa juga perlu mengenali
rakan-rakan anak supaya anak-anak tidak dieksplotasi oleh rakan-rakan yang
negatif. Ibu bapa juga boleh membimbing anak-anak untuk memilih rakan sebaya
yang baik kerana hanya jauhari yang mengenal manikam.
Anak-anak mestilah pandai memilih sahabat kerana bergaul dengan orang jadi
orang, bergaul dengan hantu jadi hantu. Anak-anak canda terpengaruh oleh
rakan-rakan. Mereka menganggap rakan-rakan mereka sebagai pendengar paling
setia. Hal ini demikian remaja memang kecetekan pengalaman hidup. Di samping
itu, ibu bapa harus mengawasi anak-anak semasa mereka melayari laman web. Laman
web yang berunsur pornografi akan menyebabkan remaja terjebak dalam kancah
negatif dan menjadikan remaja seorang yang ganas. Ibu bapa juga boleh
menggalakkan anak-anak menonton rancangan yang mengandungi unsur kasih sayang
seperti program-program kekeluargaan yang disiarkan di kebanyakan saluran
televisyen. Deduksinya, pengawasan ibu bapa terhadap anak-anak memang penting
dalam melahirkan anak-anak yang saling menyayangi.
Seterusnya ibu
bapa juga perlu melibatkan anak-anak dalam program-program kemasyarakatan. Ibu
bapa sewajarnya membawa anak-anak bersama-sama dalam program kemasyarakatan
yang disertai oleh
mereka. Semua program kemasyarakatan bertujuan mendidik masyarakat agar
prihatin akan kesusahan orang lain.Program kemasyarakatan tidak hanya menjurus
kepada kebajikan sesama manusia tetapi juga kepada haiwan dan alam sekitar. Ibu
bapa boleh juga melibatkan anak-anak menyertai program kemasyarakatan tanpa
perlu keluar dari rumah. Sebagai contoh mengajak anak-anak bersama-sama
menonton rancangan-rancangan berkonsepkan kemanusiaan seperti Bersamamu anjuran
TV3 mampu mengusik jiwa anak-anak untuk menghulurkan bantuan dengan hanya
menekan butang telefon bimbit untuk memberi sumbangan. Persis peribahasa Melayu
iaitu berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul,
dengan bantuan yang sedikit dapatlah kita membantu mereka yang di dalam
kesusahan. Selain itu, ibu bapa yang menganggotai pertubuhan-pertubuhan
bukan kerajaan seperti Aman Palestin boleh meminta bantuan anak-anak
untuk bersama-sama mendapatkan sumbangan bagi membantu masyarakat yang
tertindas di negara tersebut. Sesungguhnya, penglibatan dalam aktiviti
kemasyarakatan dapat mendidik jiwa anak-anak menjadi prihatin dan peka akan
keadaan sekeliling dan menjadi insan yang suka membahagiakan semua orang.
Sudah tibanya masa untuk mata
pena berakhir disini, peranan ibu bapa dalam menzahirkan anak-anak yang
penyayang tidak dapat dinafikan. Hal ini demikian kerana ibu bapa merupakan
orang yang paling berpengaruh dalam kehidupan anak-anak. Oleh itu, ibu bapa
haruslah menjadikan diri mereka sebagai suri teladan yang terbaik kepada
anak-anak. Ibu bapa juga wajiblah mencurahkan kasih sayang kepada anak serta
memantau anak-anak. Ingatlah tangan yang menghayun buaian itu mampu melahirkan
anak-anak yang penyayang. Masyarakat penyayang pada hari muka bergantung kepada
remaja pada masa ini persis kata-kata Nelson Mandela iaitu “ jika
ingin melihat kemajuan sesebuah negara pada masa akan datang maka lihatlah pada
pada generasi muda yang mereka miliki”.
Harrah's Hotel Atlantic City - Jtm Hub
ReplyDeleteExperience world-class amenities and the chance to experience it all at 경상남도 출장샵 Harrah's Resort 남원 출장샵 Atlantic 양주 출장샵 City. 인천광역 출장안마 From world-class hotel 고양 출장안마 rooms and suites,