Golongan remaja, tidak dapat
dinafikan, merupakan modal insan ataupun aset berharga kepada nusa dan bangsa.
Demi pembangunan negara, negara berhasrat untuk melahirkan modal insan yang
berkualiti, yakni berpendidikan, berwawasan, berdedikasi, berkaliber dan berdisiplin.
Oleh hal yang demikian, dalam RMK-9, sebanyak 20.6 peratus diperuntukkan untuk
meningkatkan kualiti modal insan dengan meningkatkan keupayaan dan penguasaan
ilmu. Dalam konteks ini, sasaran modal insan ialah remaja atau tenaga muda
kerana pemuda harapan
bangsa, pemudi tiang negara. Golongan mudalah yang dapat
menyumbangkan idea dan tenaga demi pembangunan negara dalam segala bidang,
khususnya dari aspek iktisad. Jadi, bagaimanakah remaja dapat memainkan peranan
dalam usaha merealisasikan visi kudsi kerajaan, yakni melahirkan modal insan
yang berkualiti.
Sebagai bakal modal insan yang
berkualiti, seseorang
remaja hendaklah berbekalkan pendidikan formal yang sempurna.
Maksud saya, setiap remaja haruslah memerah
otak sehingga mencapai ijazah kelas pertama, sarjana muda, dan
jika diizinkan Allah sehingga falsafah kedoktoran. Kita boleh mencapai kemuncak
dalam bidang pendidikan dengan berbekalkan semangat yang kental dan usaha yang
gigih. Demi mencapai kejayaan yang cemerlang, ruyung perlulah dipecahkan untuk menikmati sagunya.
Malangnya, remaja dewasa ini bersemangat rapuh dan mudah putus asa apabila
menempuh onak dan duri; genggam-genggam
bara, terasa hangat dilepaskan. Senario ini amat ketara dalam
kalangan pemuda pemudi kita kerana rata-rata melepaskan batuk di tangga. Apabila
memperoleh diploma, mereka sudah puas dan berhijrah ke bandar-bandar besar
untuk mencari pekerjaan. Yang bernasib baik dapat bekerja sebagai jururawat di
hospital swasta yang tumbuh bagai
cendawan selepas hujan. Yang bernasib malang pula
bergelandangan di perut kota dengan segulung diploma dari sebuah pejabat ke
sebuah pejabat. Kata orang tua-tua, asal
sabut terapung, asal besi tenggelam. Tuntasnya, demi menjadi
modal insan yang berguna kepada tanah air, remaja perlulah bertungkus lumus
untuk memperoleh pendidikan yang setinggi mungkin. Bukankah genggam bara api biar sampai jadi
arang?
Selain melengkapkan diri dengan
pendidikan, remaja
hendaklah mengamalkan gaya hidup sihat. Saya katakan demikian
oleh sebab kesihatan menjamin kecergasan dan kecerdasan seseorang individu
sejajar dengan kata hikmat badan
cergas, otak cerdas. Dunia ini dunia stres tidak dapat
dinafikan kerana siapa cepat, dia dapat. Demi mengejar pangkat dan pendapatan
yang tinggi, kesihatan diabaikan. Oleh sebab terlalu ghairah akan kertas hijau
dan merah, mereka kesuntukan waktu untuk bersenam, beriadah, dan bersantai.
Apabila sudah terlantar di hospital seperti
kura-kura terlentang kerana hipertensi, segala-galanya sudah
terlambat; kuman menjadi
barah; belukar menjadi rimba. Menurut berita di Utusan Melayu
baru-baru ini, seorang mekanik motor berkuas tinggi (superbike) yang berusia 38
tahun dikejarkan ke hospital bahana serangan sakit jantung. Sesampainya di Hospital
Daerah Seberang Jaya, dia pun disahkan sudah berpindah ke balik papan. Persoalannya,
bolehkah generasi muda yang berpenyakit dapat menyumbangkan tenaga ke arah
pembangunan negara? Jadi sebagai generasi muda yang berpendidikan, kita
haruslah mengambil inisiatif untuk melakukan senaman secara konsisten, seperti
bersenam di gim ataupun beriadah di taman rekreasi. Selain itu, kita perlu
menjaga pemakanan setiap masa; kita perlu makan untuk hidup, bukan hidup untuk
makan. Seperkara lagi, rokok, najis dadah dan arak sewajarnya dihindari kerana
mengundang pelbagai komplikasi. Tegasnya, gaya hidup sihat hendaklah menjadi
agenda perdana dalam kamus hidup kita jika hendak menjadi modal insan yang
berkualiti.
Di samping gaya hidup sihat, remaja hendaklah mempunyai jati diri
yang unggul demi menjadi modal insan yang dapat menyumbang
kepada nusa dan bangsa. Antara keperibadian unggul termasuklah tingkah laku
yang sopan dan mempunyai darjah kesusilaan yang tinggi berpaksikan prinsip
kelima Rukun Negara, yakni kesopanan dan kesusilaan. Hal ini dapat memandu dan
memimpin generasi muda agar tidak terbabas dari landasan yang benar lalu
terjerumus ke dalam lembah laknatullah, seperti berjinak-jinak dengan najis
dadah, yang menghancurkan wawasan negara, iaitu Wawasan 2020. Menurut pakar
motivasi yang tersohor dan disegani masyarakat Melayu, Datuk Haji Dr. Fadzilah
Kamsah, banyak anak muda yang terperosok ke dalam kancah maksiat, seperti sumur di tepi jalan, siapa haus boleh
minum (perempuan sundal), ekoran terhakisnya nilai-nilai moral.
Sehubungan ini, remaja haruslah menyemaikan nilai-nilai kemanusiaan dan
kerohaniaan, seperti amanah, tulus ikhlas, toleransi dan bertimbang rasa, dalam
lubuk kalbu mereka agar menjadi modal insan yang bersahsiah mulia serta menjaga
imej tanah air yang tercinta ini. Apa gunanya anak gadis yang cantik tetapi
tidak bersopan santun laksana
bunga dedap, sungguh merah berbau tidak. Anak gadis yang tidak
bermoral bukan sahaja dianggap sebagai cacing
di pelimbah malahan dilabelkan sebagai sampah masyarakat. Jadi,
anak-anak muda kita haruslah mematuhi adat dan peraturan di mana-mana sahaja
mereka berada; di mana
bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Pendek kata, modal
insan yang berkeperibadian mulia bukan sekadar dapat menyumbang ke arah
pembangunan negara malahan dapat mengharumkan nama negara di persada
antarabangsa.
Tidak ketinggalan juga, generasi muda haruslah menghayati
ajaran al-Quran. Hal ini dikatakan demikian kerana remaja yang
mematuhi ajaran al-Quran, bangsa Malaysia yang budiman dan disegani dapat
dilahirkan. Dalam konteks ini, remaja dapat membezakan yang mana intan, yang mana kaca.
Remaja yang beriman dan berpaksikan akidah tidak akan menjadi hamba kepada hawa
nafsu. Mereka mengetahui siapa yahudi, siapa nasrani, dan siapa majusi. Dengan
berbekalkan usuluddin ataupun ilmu tauhid, yakni ilmu yang membicarakan akidah
agama Islam yang berhubung dengan ketuhanan, kenabian, dan perkara-perkara yang
ghaib seperti qadak dan qadar, hari akhirat, syurga, dan neraka, mereka akan
menjauhi angkara dan maksiat. Anak gadis yang soleh, misalnya, akan menjaga
gerak-geri apabila berinteraksi dengan kaum lelaki. Tutur kata dan tingkah laku
akan dijaga agar tidak mencemari imej keluarga. Kata orang, biar buruk kain dipakai, asal pandai
mengambil hati. Ajaran agama Islam juga mencelikkan mata remaja
bahawa dari telaga yang
jernih, tak akan mengalir air yang keruh dan dari telaga yang keruh, tak akan
mengalir air yang jernih. Dengan adanya kesedaran ini, tumbuk
rusuk ataupun rasuah yang dapat menghancurkan negara dapat dihindarkan.
Tuntasnya, nilai-nilai keagamaan hendaklah disemaikan dan disuburkan dalam
lubuk sanubari setiap remaja untuk menjadi modal insan yang berkualiti.
Akhirulkalam, modal insan yang
menjadi harapan negara ialah generasi muda yang berpendidikan formal, berjati
diri mulia, sihat wal afiat dan beriman. Demi mendukung cita-cita dan hasrat
negara ini, remaja hendaklah melakukan aktiviti-aktiviti yang dapat membentuk
jati diri yang unggul, bukannya membilang
buah kerayung seperti melepak di kompeks beli-belah, berlumba
haram dan berjudi. Sebagai warganegara yang berjiwa patriotik, remaja haruslah
mengetepikan aliran politik yang sempit yang berorientasikan komunalisme
(fahaman perkauman) demi kepentingan nusa dan bangsa. Seperkara lagi, nilai-nilai
negatif hendaklah dikikis sama sekali kerana memang susah untuk mengikis tabiat
buruk. Bukahkah ayam
pulang ke lombong, itik pulang ke pelimbahan? Remaja juga
sewajarnya berfikir dengan semasak-masaknya sebelum bertindak dalam apa-apa
juga aspek kehidupan kerana ingat
sebelum kena, jimat sebelum habis. Tiada gunanya kita menyesali
sesuatu tindakan yang sudah menimpa diri kerana sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.
Dengan kesedaran ini, remaja bukan sahaja akan menjadi modal insan kelas pertama
bahkan dapat memperkasakan bangsa Malaysia sebagai bangsa yang maju yang dapat duduk sama rendah, berdiri sama
tinggi dengan negara-negara maju yang lain.
No comments:
Post a Comment