Followers

Friday, 12 October 2012


Soalan:
Semangat kejiranan dalam kalangan rakyat di negara kita semakin longgar. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang harus diambil supaya semangat kejiranan dalam kalangan penduduk dapat ditingkatkan.

Sada warsa ini sering meniti dari bibir ke bibir di setiap segenap empat penjuru dunia ini tentang isu semangat kejiranan dalam kalangan rakyat di negara kita semakin longgar. Darsawarsa, sama ada kita sedar atau tidak terlalu dihidangkan pembangunan negara yang gah di persada dunia. Sebagaimana yang kita maklumi, jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di belakang rumah kita. Jika kita tinggal di dalam satu taman atau di sebuah kampung yang sama, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa "Jiran sepakat membawa berkat". Jadi, kita perlulah mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu hati dalam melakukan sesuatu perkara. Oleh itu, langkah-langkah yang wajar hendaklah diambil untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat.

Pada pendapat saya, langkah primer yang harus diambil ialah mengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa “tak kenal maka tak cinta”. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalinkan dan meningkatkan hubungan sesama jiran.

Selain itu, kita juga hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanya khabar dan bercerita tentang pengalaman dengan lebih dekat. Seterusnya, melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya majlis-majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan acara tahunan. Tegasnya, majlis rumah terbuka mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan berkenalan dengan lebih erat lagi.

Di samping itu, kita juga hendaklah mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti ini diadakan, semua ahli keluarga jiran akan turut serta untuk melibatkan diri dalam aktiviti seperti berkayak, memasukkan air ke dalam botol, terompah gajah, dan sebagainya. Apabila aktiviti Hari Keluarga diadakan, kemesraan akan terjalin bukan sahaja antara ibu dengan bapa, malah anak-anak juga. Aktiviti seperti ini hendaklah diadakan di padang bola sepak, gelanggang bola tampar, taman rekreasi, atau padang sekolah yang berhampiran. Jadi, melalui aktiviti ini, hubungan yang erat sesama jiran dapat dibentuk yang secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan ingin membantu antara satu dengan yang lain seperti yang terungkap dalam peribahasa Melayu ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.


Bukan itu sahaja, kita juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat mestilah membentuk satu persatuan yang mempunyai satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian, dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rukun Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan taman untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling membantu dalam kehidupan.



Seterusnya, kita mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjung dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa
berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita. Jadi, melalui lawatan kita itu, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan yang dialami oleh jiran kita itu.

Dalam merealisasikan visi kudsi Wawasan 2012, marilah kita bersama-sama memupuk dan meningkatkan semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat. Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu
“bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara. Ada pepatah yang mengatakan bahawa “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera.




               PERANAN IBUBAPA DALAM PEMBENTUKAN KELUARGA BAHAGIA



Anak –anak diibaratkan kain putih yang suci dan kudus manakala ibu bapa merupakan pencoraknya. Ibu bapa merupakan orang yang terdekat kepada anak-anak. Justeru itu, ibu bapa harus mengemudi amanah yang mustahak dalam menentukan kehidupan anak-anak yang sewarna pelangi atau semalap gelap. Kesedaran tentang kepentingan masyarakat penyayang terhadap sesebuah negara yang sedang membangun atau sudah membangun terpahat dalam sanubari kita. Hal ini demikian kerana perasaan saling menyayangi dan hormat menghormati dalam masyarakat dapat menjamin perpaduan yang mengundang kemajuan dan kemakmuran negara. Tanpa masyarakat penyayang, negara Jalur Gemilang mempunyai kemungkinan besar tercetus peperangan yang dahsyat. Dengan ini, rakyat akan hidup dalam kesengsaraan dan kehimpitan daripada segi fizikal dan emosi. Persoalan yang menerjah benak kita, apakah peranan ibu bapa dalam melahirkan masyarakat penyayang.

Sebagai mukadimah dan lontaran idea dominan, peranan ibu bapa dalam menzahirkan anak-anak yang penuh dengan kasih sayang adalah dengan menjadi suri teladan kepada anak-anak. Ibu bapa hendaklah mengimplementasikan tingkah-laku yang berunsur positif di dalam rumah mahupun di luar rumah kerana bapa borek anak rintik. Anak-anak akan mengikut jejak dan mencontohi gelagat ibu bapa kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa yang bersikap ganas mustahil dapat menzahirkan zuriat yang kamil dan soleh. Sebagai tamsilannnya, ibu bapa haruslah menyayangi ahli keluarga termasuklah datuk dan nenek yang uzur, saudara-mara dan anak-anak yang diibaratkan sebagai mutiara ibu bapa. Semasa berborak atau bercakap dengan orang tua mereka, ibu bapa haruslah menggunakan nada yang lembut. Ibu bapa juga perlulah menghormati dan dan menuruti arahan serta suruhan orang tua mereka.Ibu bapa janganlah menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang-orang tua dan janganlah meminggirkan mereka. Ironinya, ibu bapa haruslah tinggal bersama-sama dan berusaha memberikan kehidupan yang paling selesa untuk mereka. Jika tidak, anak-anak juga akan membuang ibu bapa ke rumah orang-orang tua dan mengalpakan jasa ibu bapa mereka.Sikap kacang lupakan kulit mestilah dikikis. Selain itu, ibu bapa juga perlulah bermesra dengan jiran tetangga dan saudara mara dengan cara sering bertegur sapa. Dengan ini tali silaturahim sesama tetangga dan keluarga dapat dipererat. Secara ringkasnya, ibu bapa haruslah menjadi suri teladan kepada anak-anak agar dapat melahirkan individu yang penyayang.

Sebagai meniti perbincangan di atas, idea tentang tanggungjawab ibu bapa dalam melahirkan anak-anak yang mempunyai sifat penyayang adalah dengan mencurahkan belaian kasih sayang terhadap anak-anak. Anak-anak haruslah dipelihara seperti menatang minyak yang penuh iaitu ibu bapa memberi kasih sayang yang mencukupi kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana anak-anak bukanlah haiwan robotik yang tidak mempunyai perasaan. Mereka memerlukan perhatian daripada ibu bapa kerana tiadalah sesiapa yang tidak asyik manja dengan ibu bapa. Malangnya, ibu bapa pada masa ini hanya mengejar kemewahan dan kebendaan duniawi sehingga mengabaikan tanggungjawab hakiki iaitu menjaga anak-anak. Mereka menganggap kewangan dan status masyarakat sebagai priority dalam kehidupan. Ibu bapa patutlah sentiasa meluangkan masa untuk mendampingi anak-anak. Ibu bapa haruslah menjadi pendengar cerita anak-anak yang paling setia. Ibu bapa haruslah memberikan bantuan kepada anak-anak apabila berdepan dengan masalah seperti masalah pertelingkahan dengan rakan. Ibu bapa mestilah memberi nasihat dan mengajar mereka tentang kepentingan sifat penyayang dalam masyarakat. Selanjutnya ibu bapa juga hendaklah mengelakkan diri daripada pertelingkahan dan perselisihan faham dengan anak-anak. Hal ini kerana anak-anak akan mudah terpengaruh. Lazimnya anak-anak yang bermasalah terbabit dalam vandalisme, kongsi gelap dan pergaduhan dilahirkan dalam keluarga yang porak-peranda. Kepincangan keluarga diibaratkan sebagai neraka. Tuntasnya, ibu bapa haruslah menggalas tanggungjawab mereka untuk memberikan kasih saying kepada anak-anak. Ingatlah, kebahagiaan hidup anak-anak terletak di telapak kaki ibu bapa.

Sementelahan pula, ibu bapa mestilah memberikan didikan agama dan moral kepada anak-anak sejak mereka bertatih lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Didikan agama dan moral dapat menentukan hala tuju anak-anak. Tanpa didikan agama dan moral yang kukuh, kehidupan anak-anak diibaratkan kapal tanpa nakhoda. Didikan agama dan moral memang mustahak dalam kehidupan seseorang kerana Tuhan yang kita sanjungi tidak akan menyuruh hamba-Nya melangkah ke kancah maksiat seperti lari dari rumah, bergaduh, gangtersisme dan tindak-tanduk yang berunsur negatif. Sebaliknya, Tuhan menyuruh hamba-Nya kearah kesusilaan dan ketertiban. Sebagai contohnya, Nabi Muhammad saw merupakan pesuruh Tuhan yang mempunyai sifat-sifat mulia lagi terpuji seperti bertoleransi, bersopan santun dan berfikiran panjang. Baginda amat disanjungi oleh masyarakat kerana menekankan kedamaian dan keamanan hidup. Dengan wujudnya didikan agama yang utuh, teladan-teladan Nabi Muhammad saw akan dicontohi oleh anak-anak. Selanjutnya anak-anak terutamanya remaja mudah terpengaruh dan tergoda oleh persekitaran mereka. Ibu bapa haruslah memberi didikan agama dan moral kepada anak-anak. Dengan ini anak-anak akan berakhlak mulia dan menyebati sifat penyayang dalam sanubari. Ibu bapa juga perlu rajin mengajar anak-anak untuk menunaikan solat dan berdoa agar keselesaan serta kebahagiaan hidup terjamin. Konklisinya, didikan agama dan moral haruslah diberikan kepada anak-anak untuk membajai sifat penyayang dalam jiwa mereka.

Memang tidak dapat ditepiskan, pengawasan ibu bapa terhadap anak-anak merupakan amanah ibu bapa yang afdal dalam melahirkan individu yang penyayang. Ibu bapa haruslah memerhatikan gerak-geri anak-anak. Mereka boleh memperoleh maklumat tentang gelagat anak-anak daripada saudara-mara, guru-guru serta jiran tetangga. Ibu bapa juga perlu mengenali rakan-rakan anak supaya anak-anak tidak dieksplotasi oleh rakan-rakan yang negatif. Ibu bapa juga boleh membimbing anak-anak untuk memilih rakan sebaya yang baik kerana hanya jauhari yang mengenal manikam. Anak-anak mestilah pandai memilih sahabat kerana bergaul dengan orang jadi orang, bergaul dengan hantu jadi hantu. Anak-anak canda terpengaruh oleh rakan-rakan. Mereka menganggap rakan-rakan mereka sebagai pendengar paling setia. Hal ini demikian remaja memang kecetekan pengalaman hidup. Di samping itu, ibu bapa harus mengawasi anak-anak semasa mereka melayari laman web. Laman web yang berunsur pornografi akan menyebabkan remaja terjebak dalam kancah negatif dan menjadikan remaja seorang yang ganas. Ibu bapa juga boleh menggalakkan anak-anak menonton rancangan yang mengandungi unsur kasih sayang seperti program-program kekeluargaan yang disiarkan di kebanyakan saluran televisyen. Deduksinya, pengawasan ibu bapa terhadap anak-anak memang penting dalam melahirkan anak-anak yang saling menyayangi.

Seterusnya ibu bapa juga perlu melibatkan anak-anak dalam program-program kemasyarakatanIbu bapa sewajarnya membawa anak-anak bersama-sama dalam program kemasyarakatan yang disertai oleh mereka. Semua program kemasyarakatan bertujuan mendidik masyarakat agar prihatin akan kesusahan orang lain.Program kemasyarakatan tidak hanya menjurus kepada kebajikan sesama manusia tetapi juga kepada haiwan dan alam sekitar. Ibu bapa boleh juga melibatkan anak-anak menyertai program kemasyarakatan tanpa perlu keluar dari rumah. Sebagai contoh mengajak anak-anak bersama-sama menonton rancangan-rancangan berkonsepkan kemanusiaan seperti Bersamamu anjuran TV3 mampu mengusik jiwa anak-anak untuk menghulurkan bantuan dengan hanya menekan butang telefon bimbit untuk memberi sumbangan. Persis peribahasa Melayu iaitu berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul, dengan bantuan yang sedikit dapatlah kita membantu mereka yang di dalam kesusahan. Selain itu, ibu bapa yang menganggotai pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan seperti Aman Palestin boleh meminta bantuan anak-anak untuk bersama-sama mendapatkan sumbangan bagi membantu masyarakat yang tertindas di negara tersebut. Sesungguhnya, penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan dapat mendidik jiwa anak-anak menjadi prihatin dan peka akan keadaan sekeliling dan menjadi insan yang suka membahagiakan semua orang.

Sudah tibanya masa untuk mata pena berakhir disini, peranan ibu bapa dalam menzahirkan anak-anak yang penyayang tidak dapat dinafikan. Hal ini demikian kerana ibu bapa merupakan orang yang paling berpengaruh dalam kehidupan anak-anak. Oleh itu, ibu bapa haruslah menjadikan diri mereka sebagai suri teladan yang terbaik kepada anak-anak. Ibu bapa juga wajiblah mencurahkan kasih sayang kepada anak serta memantau anak-anak. Ingatlah tangan yang menghayun buaian itu mampu melahirkan anak-anak yang penyayang. Masyarakat penyayang pada hari muka bergantung kepada remaja pada masa ini persis kata-kata Nelson Mandela iaitu “ jika ingin melihat kemajuan sesebuah negara pada masa akan datang maka lihatlah pada pada generasi muda yang mereka miliki”.

                                              MODAL INSAN BERKUALITI
 
Golongan remaja, tidak dapat dinafikan, merupakan modal insan ataupun aset berharga kepada nusa dan bangsa. Demi pembangunan negara, negara berhasrat untuk melahirkan modal insan yang berkualiti, yakni berpendidikan, berwawasan, berdedikasi, berkaliber dan berdisiplin. Oleh hal yang demikian, dalam RMK-9, sebanyak 20.6 peratus diperuntukkan untuk meningkatkan kualiti modal insan dengan meningkatkan keupayaan dan penguasaan ilmu. Dalam konteks ini, sasaran modal insan ialah remaja atau tenaga muda kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Golongan mudalah yang dapat menyumbangkan idea dan tenaga demi pembangunan negara dalam segala bidang, khususnya dari aspek iktisad. Jadi, bagaimanakah remaja dapat memainkan peranan dalam usaha merealisasikan visi kudsi kerajaan, yakni melahirkan modal insan yang berkualiti.

Sebagai bakal modal insan yang berkualiti, seseorang remaja hendaklah berbekalkan pendidikan formal yang sempurna. Maksud saya, setiap remaja haruslah memerah otak sehingga mencapai ijazah kelas pertama, sarjana muda, dan jika diizinkan Allah sehingga falsafah kedoktoran. Kita boleh mencapai kemuncak dalam bidang pendidikan dengan berbekalkan semangat yang kental dan usaha yang gigih. Demi mencapai kejayaan yang cemerlang, ruyung perlulah dipecahkan untuk menikmati sagunya. Malangnya, remaja dewasa ini bersemangat rapuh dan mudah putus asa apabila menempuh onak dan duri; genggam-genggam bara, terasa hangat dilepaskan. Senario ini amat ketara dalam kalangan pemuda pemudi kita kerana rata-rata melepaskan batuk di tangga. Apabila memperoleh diploma, mereka sudah puas dan berhijrah ke bandar-bandar besar untuk mencari pekerjaan. Yang bernasib baik dapat bekerja sebagai jururawat di hospital swasta yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Yang bernasib malang pula bergelandangan di perut kota dengan segulung diploma dari sebuah pejabat ke sebuah pejabat. Kata orang tua-tua, asal sabut terapung, asal besi tenggelam. Tuntasnya, demi menjadi modal insan yang berguna kepada tanah air, remaja perlulah bertungkus lumus untuk memperoleh pendidikan yang setinggi mungkin. Bukankah genggam bara api biar sampai jadi arang?

Selain melengkapkan diri dengan pendidikan, remaja hendaklah mengamalkan gaya hidup sihat. Saya katakan demikian oleh sebab kesihatan menjamin kecergasan dan kecerdasan seseorang individu sejajar dengan kata hikmat badan cergas, otak cerdas. Dunia ini dunia stres tidak dapat dinafikan kerana siapa cepat, dia dapat. Demi mengejar pangkat dan pendapatan yang tinggi, kesihatan diabaikan. Oleh sebab terlalu ghairah akan kertas hijau dan merah, mereka kesuntukan waktu untuk bersenam, beriadah, dan bersantai. Apabila sudah terlantar di hospital seperti kura-kura terlentang kerana hipertensi, segala-galanya sudah terlambat; kuman menjadi barah; belukar menjadi rimba. Menurut berita di Utusan Melayu baru-baru ini, seorang mekanik motor berkuas tinggi (superbike) yang berusia 38 tahun dikejarkan ke hospital bahana serangan sakit jantung. Sesampainya di Hospital Daerah Seberang Jaya, dia pun disahkan sudah berpindah ke balik papan. Persoalannya, bolehkah generasi muda yang berpenyakit dapat menyumbangkan tenaga ke arah pembangunan negara? Jadi sebagai generasi muda yang berpendidikan, kita haruslah mengambil inisiatif untuk melakukan senaman secara konsisten, seperti bersenam di gim ataupun beriadah di taman rekreasi. Selain itu, kita perlu menjaga pemakanan setiap masa; kita perlu makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan. Seperkara lagi, rokok, najis dadah dan arak sewajarnya dihindari kerana mengundang pelbagai komplikasi. Tegasnya, gaya hidup sihat hendaklah menjadi agenda perdana dalam kamus hidup kita jika hendak menjadi modal insan yang berkualiti.

Di samping gaya hidup sihat, remaja hendaklah mempunyai jati diri yang unggul demi menjadi modal insan yang dapat menyumbang kepada nusa dan bangsa. Antara keperibadian unggul termasuklah tingkah laku yang sopan dan mempunyai darjah kesusilaan yang tinggi berpaksikan prinsip kelima Rukun Negara, yakni kesopanan dan kesusilaan. Hal ini dapat memandu dan memimpin generasi muda agar tidak terbabas dari landasan yang benar lalu terjerumus ke dalam lembah laknatullah, seperti berjinak-jinak dengan najis dadah, yang menghancurkan wawasan negara, iaitu Wawasan 2020. Menurut pakar motivasi yang tersohor dan disegani masyarakat Melayu, Datuk Haji Dr. Fadzilah Kamsah, banyak anak muda yang terperosok ke dalam kancah maksiat, seperti sumur di tepi jalan, siapa haus boleh minum (perempuan sundal), ekoran terhakisnya nilai-nilai moral. Sehubungan ini, remaja haruslah menyemaikan nilai-nilai kemanusiaan dan kerohaniaan, seperti amanah, tulus ikhlas, toleransi dan bertimbang rasa, dalam lubuk kalbu mereka agar menjadi modal insan yang bersahsiah mulia serta menjaga imej tanah air yang tercinta ini. Apa gunanya anak gadis yang cantik tetapi tidak bersopan santun laksana bunga dedap, sungguh merah berbau tidak. Anak gadis yang tidak bermoral bukan sahaja dianggap sebagai cacing di pelimbah malahan dilabelkan sebagai sampah masyarakat. Jadi, anak-anak muda kita haruslah mematuhi adat dan peraturan di mana-mana sahaja mereka berada; di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Pendek kata, modal insan yang berkeperibadian mulia bukan sekadar dapat menyumbang ke arah pembangunan negara malahan dapat mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Tidak ketinggalan juga, generasi muda haruslah menghayati ajaran al-Quran. Hal ini dikatakan demikian kerana remaja yang mematuhi ajaran al-Quran, bangsa Malaysia yang budiman dan disegani dapat dilahirkan. Dalam konteks ini, remaja dapat membezakan yang mana intan, yang mana kaca. Remaja yang beriman dan berpaksikan akidah tidak akan menjadi hamba kepada hawa nafsu. Mereka mengetahui siapa yahudi, siapa nasrani, dan siapa majusi. Dengan berbekalkan usuluddin ataupun ilmu tauhid, yakni ilmu yang membicarakan akidah agama Islam yang berhubung dengan ketuhanan, kenabian, dan perkara-perkara yang ghaib seperti qadak dan qadar, hari akhirat, syurga, dan neraka, mereka akan menjauhi angkara dan maksiat. Anak gadis yang soleh, misalnya, akan menjaga gerak-geri apabila berinteraksi dengan kaum lelaki. Tutur kata dan tingkah laku akan dijaga agar tidak mencemari imej keluarga. Kata orang, biar buruk kain dipakai, asal pandai mengambil hati. Ajaran agama Islam juga mencelikkan mata remaja bahawa dari telaga yang jernih, tak akan mengalir air yang keruh dan dari telaga yang keruh, tak akan mengalir air yang jernih. Dengan adanya kesedaran ini, tumbuk rusuk ataupun rasuah yang dapat menghancurkan negara dapat dihindarkan. Tuntasnya, nilai-nilai keagamaan hendaklah disemaikan dan disuburkan dalam lubuk sanubari setiap remaja untuk menjadi modal insan yang berkualiti.

Akhirulkalam, modal insan yang menjadi harapan negara ialah generasi muda yang berpendidikan formal, berjati diri mulia, sihat wal afiat dan beriman. Demi mendukung cita-cita dan hasrat negara ini, remaja hendaklah melakukan aktiviti-aktiviti yang dapat membentuk jati diri yang unggul, bukannya membilang buah kerayung seperti melepak di kompeks beli-belah, berlumba haram dan berjudi. Sebagai warganegara yang berjiwa patriotik, remaja haruslah mengetepikan aliran politik yang sempit yang berorientasikan komunalisme (fahaman perkauman) demi kepentingan nusa dan bangsa. Seperkara lagi, nilai-nilai negatif hendaklah dikikis sama sekali kerana memang susah untuk mengikis tabiat buruk. Bukahkah ayam pulang ke lombong, itik pulang ke pelimbahan? Remaja juga sewajarnya berfikir dengan semasak-masaknya sebelum bertindak dalam apa-apa juga aspek kehidupan kerana ingat sebelum kena, jimat sebelum habis. Tiada gunanya kita menyesali sesuatu tindakan yang sudah menimpa diri kerana sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. Dengan kesedaran ini, remaja bukan sahaja akan menjadi modal insan kelas pertama bahkan dapat memperkasakan bangsa Malaysia sebagai bangsa yang maju yang dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain.
                                                MASALAH KEMALANGAN JALAN RAYA

Selamat dan salam sejahtera kepada Tuan Pengerusi Majlis, tuan-tuan dan puan-puan, serta para pelatih yang saya kasihi sekalian. Terlebih dahulu saya merakamkan ucapan ribuan terima kasih kerana diberi kesempatan untuk menyampaikan ceramah sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya yang dijalankan pada pagi ini. Sekalung tahniah saya ucapkan kepada pengusaha Pusat Latihan Memandu Seri Mawar kerana mengambil inisiatif mengadakan kempen bagi memupuk kesedaran orang ramai terhadap aspek keselamatan di jalan raya. Pada pagi yang ceria ini, saya akan menggunakan kesempatan yang diberikan untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk “Punca dan Cara Mengatasi Kemalangan Jalan Raya”.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Isu kecelakaan jalan raya tidak lekang di bibir, terutamanya pada musim perayaan. Kata orang, jika tiada angin, masakan pokok bergoyang. Walhasil, pihak kerajaan telah mengambil langkah-langkah proaktif dan konstruktif, seperti Ops Sikap dan Ops Raya 2011, untuk mencegah kemalangan jalan raya. Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dikerah dalam dua operasi berasingan bagi mengawal lalu lintas dan mengawasi keselamatan pengguna pengguna jalan raya sempena sambutan Aidilfitri baru-baru ini. Ironinya, kadar kemalangan jalan raya tetap meningkat. Dalam senario ini, siapakah yang harus dipersalahkan? Adakah kerajaan kita kurang prihatin terhadap keselamatan para pengguna jalan raya? Adakah nyawa kita begitu murah? Adakah rakyat kita menjadi hamba kepada hawa nafsu? Adakah rakyat kita tidak rasional ketika berada di jalan raya? Tepuk dada tanyalah selera! Realitinya, terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada berlakunya peningkatan kes kemalangan jalan raya di negara kita. Ada angin, ada pokoknya!
Kecuaian ataupun kealpaan pengguna jalan raya antara penentu perdana tidak dapat dinafikan. Baik disedari mahupun tidak, dari perspektif etika, kelalaian merupakan suatu kesalahan kerana mengundang pelbagai komplikasi, yakni kehilangan nyawa, kemusnahan harta benda, dan penderitaan. Ghalibnya, kecuaian memandu berlaku disebabkan oleh tiga faktor, iaitu tekanan jiwa, tidak menumpukan perhatian terhadap pemanduan, dan di bawah pengaruh arak ataupun dadah. Tekanan jiwa boleh menjejaskan tumpuan terhadap pemanduan kerana mindanya bercelaru manakala jiwanya pula berkecamuk gara-gara pelbagai masalah mengundang padah, bak kata pepatah geruh tidak berbunyi, malang tidak berbau! Misalnya, desakan kerjaya dan rumah tangga, sementelahan kesesakan lalu lintas menggangu gugat konsentrasi pemandu sehingga melanggar kereta di depan ataupun terbabas di selekoh tajam. Sementara itu, ada pemandu yang tidak prihatin membaca atau menghantar SMS seraya memandu, kononnya sambil menyelam minum air. Natijahnya, tumpuan terhadap pemanduan terjejas dan tanpa diduga, kemalangan boleh terjadi. Lebih teruk lagi apabila kes kemalangan berlaku bahana pemandu yang mabuk, terutamanya pada musim perayaan, hari libur, dan tengah malam. Tegasnya, punca kemalangan jalan raya tidak lain dan tidak bukan kealpaan para pengguna jalan raya, bukannya pihak kerajaan.
Para hadirin sekalian,
Sudah terang lagi bersuluh, baik jalan raya ataupun lebuh raya kita menjadi sungai maut berpokok pangkal daripada kegagalan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas. Mereka, terutamanya generasi muda, beraja di mata, bersultan di hati. Ada yang terlalu mengikut perasaan tanpa mengendahkan musibah kemalangan, kata orang turutkan rasa binasa, turutkan hati mati, turutkan mata leta. Peraturan yang ditetapkan, misalnya kelajuan maksimum 110 kilometer sejam, seolah-olah hanya wujud di atas kertas dan peringatan daripada PDRM ataupun JPJ bagaikan masuk ke telinga kanan, keluar dari telinga kiri. Pemandu bas ekspres ataupun treler, tamsilnya, bermaharajela di lebuh raya dengan memperlarikan kenderaan serta memotong kenderaan sewenang-wenang seolah-olah dirasuk syaitan. Remaja pula berlumba haram di jalan raya seolah-oleh jalan raya kepunyaan orang tua mereka. Demi pengetahuan kalian, gejala mat rempit yang kian leluasa dalam kalangan generasi muda dan memudaratkan keselamatan orang ramai berlaku di negara kita sahaja. Fenomena ini memanifestikan bahawa rakyat Malaysia sudah ketandusan ataupun kegersangan nilai-nilai etika ataupun moral. Tuntasnya, kegagalan pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas menjadi pokok pangkal peningkatan kes kecelakaan jalan raya di negara kita.
Para pelatih yang dihormati,
Setiap penyakit ada penawarnya, setiap permasalahan ada penyelesaiannya. Penawar yang mustajab untuk masalah sikap pengguna jalan raya sekali gus mengatasi kemelut kemalangan jalan raya ialah pendidikan. Pada hakikatnya, pendidikan memainkan peranan yang terpenting untuk membentuk sikap pengguna yang terpuji sekali gus mengelakkan berlakunya salah laku jalan raya. Pengguna jalan raya perlu dididik supaya mempunyai kesedaran tentang keselamatan di jalan raya dan mempunyai sahsiah diri yang betul sebagai pengguna jalan raya. Kesedaran ini seelok-eloknya disemaikan sejak di bangku sekolah lagi kerana masa lagi rebunglah hendak dilentur, jangan dinantikan sudah menjadi aur. Pendidikan yang berterusan mestilah disuntik ke dalam jiwa pengguna jalan, dan bukannya melepaskan batuk di tangga ataupun hangat-hangat tahi ayam. Tiga saluran pendidikan boleh digunakan yakni melalui sekolah, misalnya dalam mata pelajaran Pendidikan Moral, melalui sekolah memandu, dan melalui saluran komunikasi awam seperti radio dan televisyen. Saluran komunikasi, misalnya, mestilah menjadi wadah penyebaran maklumat yang dapat memainkan tanggungjawab sosial untuk mencelikkan mata orang ramai peri pentingnya mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya dan bukannya menjadi medan untuk meraih keuntungan semata-mata. Tamsilnya, kehadiran filem genre remaja dan sosial di pawagam seperti KL Menjerit 1, Remp-it, Anak Halal, KL-Drift, Haru-Biru, Impak Maksima, dan yang terbaharu Bohsia seharusnya mampu mendidik pengguna jalan raya khususnya dalam kalangan generasi muda dan bukannya bertujuan menyogokkan unsur hiburan semata-mata. Realitinya, pendidikan merupakan instrumen yang paling efektif bagi mengubah sikap pengguna jalan raya agar lebih berhemah ketika memandu kerana ingat sebelum kena, hemat sebelum habis sekali gus menurunkan kadar kemalangan jalan raya di negara kita.
Akhirulkalam, saya ingin mengingatkan semua pihak bahawa kemalangan jalan raya sebenarnya bukan sahaja mengundang maut malahan kemalangan jalan raya turut menyebabkan negara mengalami kerugian. Oleh itu, marilah bersama-sama mengorak langkah sederap untuk mengurangkan kes kemalangan jalan raya di negara kita. Kata orang, berat sepikul, ringan sejinjing! Semoga adik-adik yang hadir di pusat latihan memandu pada hari ini akan menjadi pemandu yang berhemah di jalan raya apabila telah mendapat lesen memandu kelak. Ingatlah, usaha menangani kemalangan jalan raya tidak boleh dipandang enteng. Usaha yang pragmatik dan konstruktif sahaja tidak memadai jika tiada iltizam dan komitmen golongan muda. Akhir kalam, janganlah terhantuk baru tengadah!
Sekian, terima kasih.
...........................


                                                          KESAN PEMANASAN GLOBAL


Pemanasan global telah menyebabkan bumi mengalami “demam panas” yang turut menjadi penyebab utama iklim dunia menjadi semakin kucar-kacir. Bagi kebanyakan orang, perubahan iklim dan pemanasan global lebih banyak mengganggu sistem ekonomi berbanding dengan kesihatan diri. Walau bagaimanapun, kesan pemanasan global jauh lebih mendalam dan akan meninggalkan kesan kepada semua penduduk dunia. Mungkin juga ada antara kita yang melihat mereka yang terbunuh akibat bencana alam seperti taufan, banjir dan cuaca panas sebagai nasib malang semata-mata.

Namun, bagi yang terselamat, mereka sebenarnya terdedah kepada ancaman kesihatan selepas terselamat daripada lemas, mati kesejukan atau dehidrasi. Percaya atau tidak, peningkatan suhu bumi telah membunuh lebih satu juta orang di seluruh dunia sejak tahun 2000 sama ada secara langsung ataupun tidak. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengeluarkan perangkaan tersebut menjelaskan separuh daripada jumlah kematian itu berlaku di Asia Pasifik, benua yang paling padat penduduk. Selain itu, jumlah berkenaan belum ditambah dengan ribuan mangsa yang terbunuh akibat pencemaran udara setiap tahun ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

Pemanasan global yang berpunca daripada pencemaran udara akan menyumbang kepada peningkatan jumlah gas karbon iaitu gas rumah hijau di ruang atmosfera bumi. Haba matahari yang pada kebiasaannya dapat dipantulkan ke permukaan bumi kembali ke angkasa lepas kemudiannya terperangkap dan menyebabkan suhu bumi semakin meningkat. Akibatnya, ais di kutub-kutub mula mencair dan meningkatkan paras air laut sehingga menenggelamkan sesetengah pulau kecil dan menghakis permukaan tanah besar.

Selain itu, suhu tinggi turut meninggalkan kesan pada aliran angin yang akan membawa kepada pembentukan lebih banyak ribut taufan serta hujan monsun yang lebih teruk daripada biasa. Contoh terbaik dapat dilihat berdasarkan kepada gelombang haba di Eropah yang menyebabkan angka kematian meningkat sejak tahun 2000. Gelombang “kepanasan” ini telah menyebabkan suhu ketika musim panas dan musim sejuk kini jauh lebih tinggi. Malah, ada negara seperti Amerika Syarikat telah dilanda ribut salji dan ribut taufan yang teruk seperti Taufan Katrina pada tahun 2005.

Kesan masalah ini akan terus berpanjangan dan akan semakin serius jika terus diabaikan atau gagal dikawal. Akibatnya, generasi seterusnya yang akan menanggung kesan penuh kerakusan generasi kini dalam mencemarkan alam sekitar semata-mata untuk kekayaan dan kemajuan ekonomi kerana sifat tamak haloba. Sebarang bentuk perubahan melampau pasti akan memberi kesan paling buruk kepada bayi, kanak-kanak, dan warga emas yang merupakan golongan paling mudah terdedah menjadi mangsa pertama bencana alam.

Rakyat Malaysia mungkin dapat menyesuaikan diri dengan suhu yang tinggi dan panas terik memandangkan sudah biasa dengan iklim tropika bak kata pepatah, “alah bisa tegal biasa”. Walau bagaimanapun, penduduk yang biasa hidup dengan iklim sejuk mungkin tidak dapat menyesuaikan diri dan kini mencatatkan peningkatan kematian akibat strok haba. Strok haba akan menyebabkan kegagalan semua organ badan berfungsi, sama seperti yang berlaku kepada pesakit demam panas. Begitu juga dengan penyakit radang paru-paru yang berpunca daripada penyebaran meluas bakteria yang menyerang paru-paru berikutan cuaca panas dan lembap serta beberapa faktor lain.

Kesukaran untuk mendapatkan bekalan air bersih akan mendedahkan orang ramai kepada air yang dicemari pelbagai jenis kuman. Kesihatan diri sudah pasti akan terancam jika air tercemar digunakan sebagai air minuman, memasak, membasuh atau membersihkan diri. Bilangan kes cirit-birit , taun dan pelbagai penyakit bawaan air dilihat meningkat dengan mendadak ketika musim banjir. Situasi ini diburukkan lagi dengan peningkatan penyakit bawaan nyamuk akibat pembiakan nyamuk di dalam tompokan air bertakung yang ditinggalkan arus banjir. Takungan air ini menjadi tempat strategik untuk kuman yang pantas membiak kerana mendapat bekalan makanan yang cukup dari tumbuhan dan bangkai haiwan yang mereput.

Masalah ini juga memberi kesan yang buruk kepada mereka yang gemar bersenam dan beriadah di luar. Hal ini demikian kerana gas rumah hijau seperti karbon monoksida kini semakin banyak dalam udara terutamanya di kawasan bandar dan kawasan yang mempunyai bilangan kenderaan yang banyak. Apabila gas ini disedut terlalu banyak, ketika bersenam atau beriadah, menyebabkan kandungan oksigen darah jatuh mendadak dan kandungan gas karbon monoksida yang banyak boleh memberi kesan kepada badan dan jantung.
Pemuliharaan alam sekitar perlu dipikul bersama dan bukannya bergantung kepada kerajaan atau pertubuhan-pertubuhan dunia semata-mata bak kata kata pepatah, “ringan sama dijinjing, berat sama dipikul”. Rakyat turut memainkan peranan penting dengan mengambil berat akan kesejahteraan sejagat dan tidak hanya mementingkan kemajuan sendiri tanpa mengambil kira akibat kerakusan mengejar kekayaan dunia kerana sememangnya orang yang tamak selalu rugi. Walaupun hanya dengan sumbangan kecil seperti tidak membuat pembakaran terbuka dan mengurangkan penggunaan kenderaan bermotor oleh sebanyak mungkin individu, setidak-tidaknya kita dapat membantu mengawal pemanasan global. Sayangi dan cintailah bumi kita demi kesejahteraan dan keharmonian kehidupan generasi akan datang.



                                                        DISIPLIN ASAS KEJAYAAN

Pada era globalisasi ini , pencapaian yang cemerlang dan seimbang dalam bidang akademik serta kokurikulum oleh anak anak merupakan harapan ibu bapa sebagai langkah untuk menjamin masa depan anak-anak yang cerah . Hal ini menyebabkan ramai anak yang mengalami tekanan kerana ingin memuaskan kehendak ibu bapa mereka .Oleh itu , remaja yang terlibat dalam masalah disiplin ibarat cendawan tumbuh selepas hujan .Hal ini menyebabkan remaja mencari jalan untuk menghilangkan stress. Contohnya, membuli , merokok dan berlumba haram. Akhirnya , masalah disiplin pelajar menjadi lebih serius dan mereka terjebak ke dalam kancah kebinasaan .Oleh itu , pelajar harus belajar untuk menjadi disiplin kerana disiplin asas kejayaan .
Sebagaimana yang kita tahu, seseorang yang mempunyai disiplin diri dapat membina jati diri .Remaja sekarang mempunyai jati diri yang lemah .Hal ini disebabkan oleh pengaruh media massa dan pengaruh kawan yang kuat. Kesannya , remaja tidak berminat dalam pelajaran kerana terlalu berminat dalam pelajaran dan menumpukkan perhatian dan masa kepada media massa atau kawan . Sekolah harus mengadakan kelas intensif untuk membantu pelajar yang lemah dan membaiki kelemahan pelajar. Dengan itu , pencapaian akademik pelajar akan meningkat . Apabila pemikiran pelajar menjadi matang , jati diri pelajar akan turut meningkat .Selain itu , sikap disiplin dalam seseorang dapat meningkatkan kesedaran remaja dalam pelbagai perkara .Remaja kini tidak menyedari kepentingan akademik dan suka hidup dalam mimpi .Mereka suka melepak ,merokok dan hidup dalam alam fantasi mereka .Akhirnya , mereka lupa daratan dan hilang arah tuju.Oleh itu, para guru disiplin sekolah harus sentiasa tegas dalam mengatasi masalah disiplin pelajar dan menguatkuasakan peraturan sekolah sebelum nasi menjadi bubur. Sebuah sekolah yang berada dalam keadaan yang erkawal akan dapat melahirkan tempat yang kondusif kepada pelajar-pelajar .Seterusnya , disiplin yang ada pada seseorang remaja dapat menetapkan masa depan seorang remaja .Remaja alaf baharu ini mudah hilang arah tujuan kerna mereka tiada motivasi diri .Contohnya , mereka tidak membuat jadual belajar dan mereka malas untuk berusaha . Oleh itu , guru sekolah harus mendidik murid untuk menjadi disiplin .Dengan teknik pembelajaran yang disiplin . remaja dapat mengetahui perkara yang sedang dibuatnya dengan jelas dan tahu mencari cara untuk memajukan diri mereka .Dengan itu , remaja akan menghargai masa dan mereka akan sentiasa melakukan aktiviti yang berfaedah .Sementara itu, sikap disiplin yang ada pada seseorang dapat meningkatkan imej diri .Pada masa ini , masalah remaja seperti berpakaian selekeh dan berambut panjang sudah menjadi perkara yang umum . Budaya Punk dan Barat dipraktikkan dalam kehidupan mereka.Contohnya , mereka mewarnakan rambut dan berseluar ketat . Pepatah Melayu pernah mengatakan melentur buluh biarlah dari rebungya ,ibu bapa harus menunjukkan cara berpakaian yang kemas dan menjadi suri telada kepada anak sejak kecil kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya.Sebagaimana yang kita tahu , anak-anak yang dididik dengan baik dari rumah sentiasa mempunyai sikap disiplin dan perkara-perkara yang dilakukan oleh mereka tidak menconteng arang di muka ibu bapa.Di samping itu , disiplin merupakan kunci kejayaan diri . Anak muda pada masa kini antikokurikulum dan antipeperiksaan kerana mereka tidak dapat mencari keseronokan yang mereka kira seronok . Misalnya , mereka ponteng sekolah semasa dikehendaki untuk menghadiri aktiviti kokurikulum dan hanya hadir pada hari peperiksaan sahaja. Pengetua sekolah haruslah memberikan nasihat dan teguran untuk menyedarkan remaja bahawa pentingnya kokurikulum dan akademik dalam dunia ini . Pengetua juga harus member kata-kata yang dapat memotivasikan pelajar supaya pelajar lebih yakin akan diri sendiri . Pelajar haruslah menunjukkan muhasabah disiplin diri yang tinggi dan harus memperbaik sikap yang buruk kerana buang yang keruh , ambil yang jernih .
Tuntasnya , masalah disiplin pelajar dapat dikawal tetapi memerlukan usaha yang pragmatik dan kerjasama bagai aur dengan tebing oleh semua pihak . Pepatah Melayu sentiasa berbunyi ‘pemuda harapan bangsa , pemudi tiang negara , remaja harus diasuh untuk menjadi pemimpim negara yang berketerampilan dan berwibawa .Kesimpulannya ,sikap disiplin merupakan penentu kejayaan untuk memastikan masa depan negara cerah dan sejahtera . Saya yakin bahawa remaja ialah aset negara dan mereka akan menerajui dan mendukung cita-cita negara pada masa depan dengan sikap disiplin yang utuh dalam diri mereka .